top of page

Assalamualaikum

Beliau pernah menjadi Dekan di Universiti Damascus pada tahun 1960-an sebelum melanjutkan pengajian di peringkat PhD di Universiti Al-Azhar dalam jurusan undang-undang Islam. Kini, beliau adalah pensyarah di Universiti Damascus dan bergiat aktif di dalam persidangan serta seminar di peringkat antarabangsa.

 

Sehingga kini, beliau telah menulis tidak kurang dari 40 buku dalam bidang kesusasteraan, falsafah, sosiologi dan keagamaan. Kecerdasan inteleknya terserlah di dalam kuliah-kuliah dan ceramah yang disampaikan di serata Syria. Sebagai seorang ahli akademik, beliau juga menganggotai Majlis Tertinggi Akademi Oxford, England dan â€˜Royal Society of The Islamic Civilisation Researches’ yang berpusat diAmman, Jordan. Antara buku beliau yang terkenal adalah Fiqh Sirah yang menjadi rujukan di seluruh dunia.

 

Semenjak penubuhan ABIM, telah banyak program ilmu di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa telah diadakan sama ada dalam bentuk seminar, syarahan umum, bengkel, kolokium dan sebagainya. ABIM juga sentiasa istiqamah dalam meneruskan legasi pengutamaan aspek intelektual dalam gerakan Islam. Sebagai salah satu usaha yang berterusan dalam mendidik masyarakat dan seiringan dengan fenomena kebangkitan Islam,

 

ABIM kali ini melalui sayap intelektualnya AIM ingin mengambil peluang untuk menganjurkan seminar tokoh pemikir gerakan Islam kontemporari. Selaras dengan pengaruhnya yang sangat signifikan dalam membentuk pemikiran dan kefahaman umat Islam, ABIM telah mengambil keputusan untuk mengadakan Seminar Pemikiran Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti. Tinjauan sejarah silam merekodkan bahawa ABIM merupakan institusi terawal mengiktiraf sumbangan Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti dan telah menerima kunjungan beliau seawal tahun 90-an dan mengiktiraf sumbangan beliau yang sangat signifikan pada dunia Islam.

 

Sesuai dengan ketokohan, karisma, keilmuan, kesarjanaan dan kegigihan beliau dalam gerakan penyebaran Islam dengan medium yang pelbagai dan boleh dikatakan versatil, ABIM akan menganjurkan seminar khusus membicarakan sumbangan dan pemikiran beliau di dunia umumnya dan umat Islam khususnya. Seminar ini juga akan melibatkan wacana atau bedah karya agung beliau seperti al-Jihad fil Islam dan Dhawabit al-Maslahah fi Syariat al-Islamiyyah (Prinsip-prinsip kemaslahatan dalam syariat Islam).

bottom of page